Pengikut

Bendera Negeri Sabah

Bendera Negeri Sabah

Mengenai Saya

Foto saya
Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Sentiasa Berjuang ke jalan Allah dengan penuh semangat juang yang tinggi

kereta sewa pandu

Jumaat, 2 April 2010

ISU AMBALAT UJI KEPIMPINAN NAJIB?








Written by Admin   
Sunday, 21 June 2009 19:06


Written by Admin   
Sunday, 21 June 2009 19:06

NOTA: Pandangan yang diutarakan penulis adalah pandangan peribadi beliau sendiri berdasarkan pemerhatian dan kajian beliau dan tidak semestinya pandangan laman web ini. Beliau bertanggung jawab penuh di atas apa yang ditulisnya.







PEREBUTAN wilayah Ambalat yang kaya dengan minyak di antara kerajaan Indonesia dan Malaysia mungkin berakhir dengan kematian dan pengorbanan untuk menarik perhatian dunia kerana dasar luar Malaysia yang mengamalkan toleransi dan semangat kerjasama serantau.

Loji Pertamina yang dibentengi oleh Tentera Laut Indonesia  manakala loji Petronas pula yang dikawal selia oleh Tentera Laut Di Raja Malaysia semakin tegang berikutan perebutan wilayah berkenaan yang akan mengulangi sejarah konfrantasi Indonesia Malaysia sekitar 1963.
Ketika itu Tentera Darat Malaysia terpaksa tampil ke hadapan menentang ancaman besar kepada Negara, apabila Indonesia di bawah pimpinan Presiden Sukarno melancarkan konfrantasi terhadap Malaysia dalam tahun 1963. 
Konfrantasi merupakan bantahan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang menggabungkan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.  Konfrantasi ini berterusan selama 3 tahun dan banyak kejadian serta pertempuran berlaku di antara Tentera Darat dengan angkatan rejim Sukarno.  Di dalam pertempuran-pertempuran ini anggota-anggota Tentera Darat telah menunjukkan semangat kepahlawanan dan semangat sedia berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Satu peristiwa pahit yang mungkin tidak dapat dilupakan dalam Sejarah Tentera Darat ialah Peristiwa Kalabakan yang berlaku pada 29 Disember 1963.  Dalam peristiwa ini, satu Pos Sementara Tentera di Kalabakan, Tawau Sabah dengan kekuatan satu platun di bawah perintah Mejar Zainal Abidin Bin Haji Yaacob dari Kompeni C, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja telah diserang ketika mereka sedang menunaikan sembahyang Maghrib di bangunan madrasah. 
Walaupun dalam keadaan tidak tersedia, anggota-anggota platun telah menentang musuh yang berlipat ganda ramainya dan memaksanya berundur.  Serangan itu mengorbankan 7 orang anggota platun tersebut, termasuk Mejar Zainal Abidin dan mencederkan 16 yang lain.

PANTAU.... Tentera Indonesia sedang memantau pergerakan Kapal Perang Tentera Laut di-Raja Malaysia yang berlegar di sekitar Ambalat.

Mengikut maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai, terdapat 13 kapal tentera Indonesia mengepung pulau Ambalat dan tentera Malaysia hanya bertahan di kawasan sempadan antarabangsa.
Walupun dilaporkan berlaku perlanggaran kecil kapal Malaysia dengan Indonesia, namun belum ke tahap mendidihkan adrenalin angkatan tentera kedua belah pihak.
Provokasi demi provokasi dilakukan kedua belah pihak untuk mencetuskan perbalahan hingga menarik campurtangan antabangsa.
Malaysia yang telah banyak belajar daripada sejarah pencerobohan Iraq ke atas Kuwait akan lebih bersifat defensif iaitu bertahan sambil memerhati karenah tentera Indonesia yang mula melaporkan beberapa pencerobohan perairan dan ruang udara oleh tentera Malaysia.
Namun sampai bila tentera laut Malaysia dapat bersabar dan bertahan dengan karenah tentera Indonesia yang sering mengacah dan seolah-olah mahu membenamkan mereka ke dasar laut?.
Apakah Kerajaan Malaysia akan menggunakan helah 'You knock my head, i punch your face' untuk menarik perhatian antarabangsa bagi menyelesaikan masalah pertindihan sempadan maritim antarabangsa di kawasan Ambalat.
 
BERSEDIA.... Kapal Perang TNI yang berlabuh di perairan Ambalat sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Persoalannya apakah Malaysia harus mengorbankan sebuah kapal yang bernilai jutaan ringgit dan seorang komander yang terbaik untuk menyelesaikan isu Ambalat sama seperti nasib pekebun kecil Tingkayu yang berjaya menarik perhatian dunia selepas seorang terbunuh dan lima yang lain cedera dalam perebutan tanah yang didalangi oleh pihak tertentu?.
Namun ramai pemerhati politik berpendapat isu Ambalat ini akan menguji kredibiliti Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia sebagaimana kejayaan Tun Dr Mahathir Mohammad dalam kes Pulau Sipadan dan Ligitan serta kegagalan Pak Lah dalam kes Batu Puteh.
Najib yang mengambil sikap defensif dan mengharapkan kebijaksanaan Naib Presiden UMNO selaku Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelesaikan isu ini secara biliteral tanpa melibatkan campurtangan negara Asean atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana akan mengeruhkan hubungan diplomatik dengan Indonesia. 
Paling penting, Ambalat adalah ujian paling getir buat Najib yang selama ini belum diterima oleh pemimpin Dunia sebagai Perdana Menteri Malaysia kerana beberapa isu peribadi yang dipolitikkan ke peringkat Antarabangsa oleh seterunya.
 
RUNDING... Apakah Najib akan dapat menyelesaikan isu Ambalat di meja rundingan tanpa melibatkan kehilangan nyawa dan logistik tentera bergantung penuh kepada kebijaksanaan beliau selaku Perdana Menteri 1Malaysia.

Panglima Tentera Nasional Indonesia, Jenderal Djoko Santoso, membidas secara tegas bahawa Tentera Laut di-Raja Malaysia sering menceroboh wilayah Indonesia terutama di kepulauan Ambalat.
Ketika memberi taklimat kepada Pesuruhjaya 1, Dewan Perwakilan Rakyat dan Menteri Pertahanan Indonesia, Juwono Sudarsono di Jakarta baru-baru ini, Djoko mengatakan, dalam beberapa kali perundingan antara Kerajaan Indonesia, Malaysia tetap menuntut pengiktirafan Indonesia bahawa Ambalat adalah sebahagian daripada wilayahnya yang berdaulat.

"Itu terlihat dari salinan nota diplomatik tentang proses pergelaran kekuatan TNI di Blok Ambalat dari Malaysia," ujar Djoko yang memaklumkan bahawa Tentera Malaysia sering menceroboh wilayahnya dan Sulawesi Utara sama ada melalui laut atau udara kerana Ambalat yang seluas 15.235 kilometer persegi memiliki kandungan minyak dan gas yang mampu bertahan selama 30 tahun akan datang.

 
 COBRA... Kapal Perang TLDM sedang melakukan rondaan biasa berdekatan Ambalat namun dianggap menceroboh kedaulatan wilayah Indonesia.

Djoko turut memaklumkan bahawa Indonesia masih memiliki permasalahan perbatasan dengan sejumlah negara seperti sepuluh titik di perbatasan darat Republik Indonesia-Malaysia di Kalimantan, enam titik di perbatasan darat Republik Indonesia-Timor Leste dan Republik Iondonesia-Papua New Guinea.

Bagaimanapun,  permasalahan perbatasan dengan Malaysia di sepanjang Kalimantan, Djoko mengatakan perundingan oleh kedua pihak masih diteruskan.

Hasil daripada beberapa perundingan, kedua pihak belum sepakat tentang prinsip-prinsip dan petunjuk yang digunakan untuk wilayah Maritim Selat Melaka, Selat Singapura, Laut Cina Selatan serta Laut Sulawesi  (laut teritorial, zon tambahan batas landasan kontinen Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Dalam pada itu, Tentera Udara Indonesia secara terbuka memberi amaran bahawa pihaknya bersedia menembak jika kapal perang Malaysia mencerobohan wilayah maritim Indonesia kerana Kerajaan Indonesia mendakwa bahawa Ambalat adalah milik mutlak mereka.

Tuntutan bertindih ini berlaku apabila subsidiari Petronas iaitu Petronas Carigali mengeluarkan lesen explorasi  carigali minyak dikonsesi ND6 dan ND7 dengan kerjasama syarikat carigali antarabangsa, Royal Dutch/Shell Group pada 16 Februari 2005.

 
CARIGALI.... Peta kawasan carigali minyak bagi syarikat kedua negara yang menjadi pertikaian.

Bagaimanapun, Kerajaan Indonesia sebelum ini telah mengeluarkan lesen carigali minyak di kawasan Timur Ambalat kepada syarikat utama Itali iaitu ENI dan  US-Based Oil Multinational Unocal sekitar Disember 2004.
Pertikaian mula timbul apabila isu keselamatan tenaga yang melibatkan deposit sumber hidrokarbon bagi kedua-dua buah Negara.

Dalam pada itu, Wakil Ketua Pesuruhjaya 1 Dewan Perwakilan rakyat, Sidharto Danusubroto bahawa tugas Tentera Negara Indonesia ialah menjaga kedaulatan Negara dan keselamatan bangsa dan tindakan tegas terhadap pencerobohan Tentera Malaysia adalah menurut Perlembagaan Negara itu.

Kata Sidharto, DPR akan memberikan sokongan kepada TNI jika terjadi insiden di perbatasan dengan Malaysia, dalam rangka kerja menjaga kedaulatan Negara kerana sikap kerajaan Indonesia  yang terlalu berlembut dengan Malaysia akan membuat Indonesia terus dipinggirkan.

"Sekali-kali tembak saja," kata anggota Komisi I DPR dari Fraksi PKS, Soeripto yang  mengakui, memang tindakan itu akan membuat Indonesia dipersalahkan  kerana masih ada  perbezaan persepsi mengenai batas wilayah perairan Indonesia dengan Malaysia.

Manakala Ketua  Staf Angkatan Laut (KSAL), Laksamana TNI, Slamet Subijanto, mengakui bahawa Malaysia memang menetapkan batas wilayahnya sendiri dengan membuat peta yang memuat perluasan wilayahnya hingga masuk ke dalam wilayah Indonesia.

"Cukup jauh masuk ke wilayah kita," ujarnya Slamet baru-baru ini yang  membidas  Malaysia kerana membuat peta wilayahnya sendiri tanpa mendapat persetujuan Indonesia, apatah lagi setelah Pulau Sipadan-Ligitan diserahkan kepada Malaysia oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Haque, Belanda sehingga  membuatkan  Malaysia turut menganggap Ambalat sebagai wilayahnya.
 
 SKIMA.... Grafik ini menunjukkan kaedah perkiraan UNCLOSE yang digunapakai seluruh dunia.

Slamet menegaskan bahawa rondaan yang dilakukan TNI hanya di wilayah yang diakui antarabangsa berdasarkan Konvension  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Undang-Undang laut iaitu United Nations Convention on The Law of The Sea (Unclose) yang ditandatangani  117 negara termasuk Malaysia pada 10 Disember 1982.

Menurut Slamet, berdasarkan Unclose, lebar laut teritorial maksimum Indonesia 12 batu nautika laut yang diukur dari pulau-pulau terluar.

Malaysia bukan negara kepulauan, sehingga batas wilayah perairannya diukur dari garis pantai. Oleh karena itu, kata Slamet, penyerahan Pulau Sipadan-Ligitan bukanlah lesen kepada Malaysia untuk menentukan perluasan batas wilayah perairannya ketika pihak Indonesia mengakui masih berlembut dengan meminta Tentera Malaysia meninggalkan wilayah Ambalat secara terhormat.

Insiden mengacah dan perlanggaran kapal perang tentera Malaysia dan Indonesia pada 30 Mei 2009, kata Slamet menyebabkan keadaan di Ambalat semakin tegang namun belum sampai mencetuskan peperangan.

 
BERTINDIH.... Tuntutan bertindih di wilayah laut yang belum diputuskan selama ini menyebabkan tidak ada garis sempadan di Ambalat.

Mengikut kajian penulis, pada 1891 Konvension antara Kerajaan British dan Belanda  telah membahagi Kepulauan Borneo kepada dua bahagian iaitu Bahagian Utara milik British dan bahagian Selatan diserahkan kepada Belanda. Selepas Malaysia merdeka, Kerajaan Malaysia mewarisi semua wilayah yang dikuasai British begitu juga dengan Indonesia.

Namun pada  awal 2005, berita ketegangan di Ambalat mula dilaporkan media sehingga mendorong reaksi masyarakat Indonesia yang mendaftar diri untuk menyertai peperangan dengan melakukan pelbagai protes termasuk menurunkan cop jari dengan darah mereka dan ramai pula yang histeria dengan meneriakkan 'Ganyang Malaysia'.

Gambar Penyanyi Nombor 1 Negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin turut dibakar dalam berbagai demonstrasi masyarakat Indonesia untuk membantah pencerobohan Malaysia ke atas wilayah mereka, Ambalat.

 
TEGANG... Provokasi media menyebabkan demonstrasi menjadi pilihan utama meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tuntutan bertindih Malaysia ke atas Ambalat.

Kini sudah empat tahun berlalu, Krisis Ambalat semakin memuncak kerana pertikaian tafsiran sama ada Ambalat ialah Pulau atau Wilayah daratan kerana Indonesia mentafsir Ambalat sebagai Blok dasar laut yang dikenali sebagai landas kontinen.

Menurut Undang-Undang Laut Antarabangsa  (UNCLOSE), sebuah negara pantai seperti Indonesia, berhak atas laut teritorial (12 batu nautika laut), zon tambahan (24 batu nautika laut), zon ekonomi eksklusif (ZEE) sejauh 200 batu nautika laut dan landas kontinen (350 batu nautika laut atau bahkan lebih).

Lebar zon masing-masing  ini diukur dari rujukan yang dinamakan garis pangkal (baseline).  Pada laut teritorial berlaku kedaulatan penuh (sovereignty) seperti di darat, sedangkan pada zon di luar itu berlaku hak berdaulat (sovereign right).

Pada kawasan hak berdaulat, suatu negara tidak memiliki kedaulatan penuh, hanya hak untuk mengelola dan memanfaatkan sumberdaya.  Jika ada dua negara yang berdekatan maka tidak mungkin bagi keduanya menuntut semua zon maritim tanpa adanya pertindihan tuntutan dengan jirannya.

Contoh paling ketara jika dua negara saling berseberangan pada jarak kurang dari 400 batu nautika laut, maka akan terjadi pertindihan  ZEE dan landas kontinen.
Jika jaraknya terlalu  dekat, iaitu kurang daripada 24 batu nautika  laut seperti Indonesia dengan Singapura, maka yang tuntutan bertindih adalah laut territorial dan seharusnya dua negara tersebut harus bersetuju dengan suatu garis sempadan yang yang membahagi dua zon maritim berkenaan.

Proses inilah yang disebut sebagai delimitasi sempadan maritim. Kedaulatan atau hak berdaulat masing-masing negara atas wilayah air dan dasar laut selanjutnya dibatasi oleh garis hasil delimitasi ini.
 
 PENYELESAIAN.... Formula cadangan menyelesaikan tuntutan bertindih antaradua negara.

Jika ada dua negara yang mendiami satu daratan/pulau, seperti Indonesia dan Malaysia di Kalimantan (masyarakat antarabangsa mengenalnya dengan Borneo), maka batas maritimnya adalah garis yang diteruskan dari ujung akhir batas darat untuk membahagi kawasan laut di sekitarnya.

Dalam hal ini, Indonesia berpendapat bahawa Ambalat adalah blok dasar laut yang berkedudukan di sebelah timur Pulau Borneo. Sebahagian besar atau keseluruhan Blok Ambalat berada pada jarak lebih dari 12 batu nautika dari garis dasar sehingga termasuk dalam regim hak berdaulat, bukan kedaulatan.

Secara keseluruhan, Malaysia berhak atas laut teritorial, zon tambahan, ZEE dan landas kontinen. Di sebelah timur, Malaysia boleh menuntut 12 batu nautika laut teritorial, 200 batu nautika  laut ZEE dan seterusnya namun persoalan yang akan timbul di mana kawasan Indonesia dan di mana kawasan Malaysia kerana penanda sempadan belum dilakukan di beberapa kawasan strategik.

Secara logiknya bolehlah diperakui bahawa laut di bahagian selatan adalah hak Indonesia dan di utara adalah hak Malaysia. Garis batas darat antara Indonesia dan Malaysia  memang sudah lama ditetapkan. Namun garis itu melalui dan berhenti di hujung timur Pulau Sebatik, sebuah pulau kecil di hujung timur Kepulauan Borneo, pada lokasi 4 darjah 10 minit di garis lintang utara.

Sewajarnya  garis tersebut diteruskan ke arah laut di sebelah timur sebagai batas maritim yang harus disepakati bersama namun ketiadaan garis ini menyebabkan pertikian yang semakin meruncing kerana kedua belah pihak menuntut kedaulatan ke atas wilayah Ambalat.

Walaupun kes tuntutan bertindih ini sering dikaitkan dengan dua Pulau Legenda Sipadan dan Ligitan, namun Indonesia tidak memperakui wujudnya kaitan dengan Ambalat kerana Sipadan dan Ligitan berada di Laut Sulawesi di sebelah utara kawasan dasar laut Ambalat; apatah lagi  Sipadan dan Ligitan tidak pernah secara formal menjadi sebahagian dari Indonesia, tidak juga Belanda.

Mengikut Undang-Undang Maritim Antarabangsa, yang dikenal  dengan istilah 'ti possidetis juris' yang bermaksud  negara baru akan memiliki wilayah atau batas wilayah yang sama dengan penjajahnya.

Dalam sejarah, Belanda tidak pernah menuntut bahawa Sipadan dan Ligitan adalah wilayahnya menyebabkan kedua pulau tersebut bukan sebahagian daripada Indonesia sebagai 'penerus' Belanda.

Bagaimanapun Indonesia dan Malaysia sama-sama menuntut Sipadan dan Ligitan dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan bahawa Malaysia yang berhak atas keduanya kerana Inggeris (penjajah Malaysia) terbukti telah melakukan penguasaan efektif terhadap kedua pulau tersebut.

Penguasaan efektif ini merujuk kepada  aktiviti perlindungan  burung, konsesi pengumpulan telur penyu dan operasi rumah api ke atas pulau tersebut kerana  Indonesia dan Malaysia bersepakat bahwa penguasaan efektif ini dinilai hanya berdasarkan tindakan sebelum tahun 1969 dan bukannya setelah membangunkan pusat pelancongan pada 1990-an.


PELANTAR.... Pelantar telaga minyak ini antara yang menjadi rebut kedua negara kerana kaya dengan gas dan minyak mentah.

Namun kesan daripada pemberian kedaulatan ke atas Sipadan dan Ligitan oleh ICJ pada 2002 telah menyebabkan perubahan konfigurasi 'baseline' Indonesia dan Malaysia kerana sebelum ini Indonesia telah mewartakan PP No. 37/2008 berhubung garis pangkal menyebabkan tuntutan zon maritim juga turut berubah.


Secara teorinya, Malaysia boleh menuntut zon maritim ke atas selatan tetapi memerlukan kajian undang-undang yang khusus untuk menentukan seberapa luas tuntutan tersebut berakhir di atas Ambalat terutama delimitasi maritim.

Walaupun Sipadan dan Ligitan hanya dua buah pulau kecil yang kini menjadi milik Malaysia namun dapat mempengaruhi tuntutan maritim di Laut Sulawesi kerana opsyen garis batas maritim juga akan terpengaruh bergantung kepada perundingan antara Indonesia dan Malaysia,kerana  garis batas ini yang akan 'membahagi' dasar laut di Laut Sulawesi.

Namun persoalan yang timbul sekarang ialah apakah Ambalat juga akan terbahagi?

Dalam keadaan media antarabangsa menggembar gemburtkan isu Ambalat seolah-olah Tentera Negara Indonesia  siap bersabung nyawa untuk Tanah Air mereka, namun rakyat kedua Negara harus mempersetujui bahawa kedaulatan dan hak berdaulat bangsa harus dibela bukan sahaja dengan peluru tetapi juga dengan ilmu  pengetahuan.

Sehubungan itu penulis menaruh harapan yang tinggi agar Malaysia dan Indonesia menyegerakan proses menentukan garis batas maritim sebelum mendakwa berlaku pencerobohan atau pelanggaran kedaulatan atau hak berdaulat kerana Malaysia sememangnya memperakui bahawa Indonesia adalah bangsa beradab dan negara kepulauan yang terbesar di dunia.

Penulis berharap agar Indonesia tidak perlu kehilangan keyakinan  diri dan bereaksi berlebihan akibat agitasi antarabangsa kerana rakyat di kedua Negara berjiran ini membudayakan perjuangan membela tanah air dengan nasionalisme yang cerdas dan terhormat.


Seluruh rakyat Malaysia dan Indonesia menggesa agar kerajaan mereka menyegerakan dan menyelesaikan proses perundingan isu Ambalat secara aman dan merayu Tentera mereka  tidak akan menambah kekuatan armada perang di wilayah itu sejajar dengan prosedur standard operasi pengamanan perbatasan wilayah laut.

Sewajarnya tentera dua Negara ini yang mematuhi standard prosedur operasi bersama perbatasan  wilayah laut dan jika terjadi pelanggaran, maka masing-masing harus menjalankan tugasnya sesuai prosedur bersama yang telah disepakati dan melakukan perhubungan berterusan agar tidak berlaku ketegangan yang menyebabkan peperangan.

Walaupun media antarabangsa sering melaporkan bahawa kapal-kapal perang Tentera Laut di-Raja Malaysia sering  melanggar perbatasan wilayah perairan Ambalat, namun oleh kerana batas wilayah maritim belum ditentukan maka ianya bukan pencerobohan kedaulatan.

Mengikut sejarah, pada 27 Oktober 1969 Malaysia dan Indonesia menandatangani Perjanjian Tapal Batas Kontinental Indonesia -Malaysia dan kedua negara melakukan ratifikasi masing-masing pada 7 November 1969.

Namun Indonesia mendakwa dalam tahun yang sama, Malaysia membuat peta baru dengan memasukkan Batu Puteh (Pedra Blanca), Pulau Sipadan dan Ligitan (yang masih status quo) sehingga membingungkan Indonesia dan Singapura (tuntutan  ke atas Pedra Blanca) yang menyebabkan Indonesia dan Singapura tidak memperakui peta baru Malaysia tersebut.

Indonesia turut mendakwa Malaysia menuntut kawasan 12 batu nautika laut yang yang berada di sekitar Pulau Karang Ambalat sedangkan batas wilayah laut Malaysia jika dihitung dari Pulau Sipadan dan Ligitan sudah sejauh 70 batu nautika.
 

SEMPADAN..... Peta inimerupakan asas bantahan Indonesia terhadap persempadanan yang dilukis sendiri oleh Malaysia dan bukannya berasaskan perjanjian 1969.

Pada 17 Mac 1970, kedua negara sekali lagi menandatangani Persetujuan Tapal batas Laut Indonesia dan Malaysia. Namun pada 1979 Malaysia membuat peta baru mengenai tapal batas kontinental dan maritim dengan serta merta menyatakan dirinya sebagai negara kepulauan dan secara ex-parte membuat perbatasan maritimnya sendiri dengan memasukan blok Ambalat ke dalam wilayahnya iaitu dengan memajukan koordinat 4 darjah 10 minit arah utara melewati pulau Sebatik.

Bagaimanapun Indonesia tidak memperakui Peta tersebut dan menyifatkan Malaysia cuba melakukan pelebaran wilayah kedaulatannya dengan menghantar Tentera Laut di-Raja Malaysia mengawasi perairan yang masih dalam pertikaian.

Dalam pada itu, Pakar Undang-Undang Laut Antarabangsa, Prof Dr Hasyim Djalal, menegaskan, secara hukum serta berdasarkan konsensus Mahkamah Antarabangsa, Indonesia adalah pemilik sah wilayah Ambalat kerana  Indonesia mempunyai bukti kukuh mengenai kepemilikan kawasan tersebut sebagai sebahagian daripada wilayah Nusantara.

"Saya mendengar bahawa Kerajaan Malaysia, melalui Perdana Menterinya akhirnya melunak dan menawarkan langkah diplomasi atau merundingkan kembali persoalan ini. Saya rasa ini adalah langkah yang baik bagi kedua negara untuk menentukan kebijakan strategis mengenai Ambalat," ujar Hasyim kepada penulis yang  menghubungi beliau di Jakarta.

Menurut Hasyim, akar persoalan kes sengketa Ambalat ini terjadi akibat tidak adanya kesepakatan garis batas landas kontinen antara Indonesia dan Malaysia di Laut Sulawesi berbanding  kesepakatan garis batas antara Indonesia dan Malaysia, mengenai Selat Melaka dan Laut Cina Selatan yang begitu jelas.

Menurut Hasyim, Indonesia yang mendakwa mereka adalah negara kelautan yang memiliki bukti dan dokumen sejak peninggalan pemerintah Belanda yang sangat kuat mengenai Nusantara yang memuat undang-undang laut dan batas garis pangkal nusantara dan batas laut dasar sampai pantai dasar serta di mana posisi perairan Indonesia berada sampai 200 batu nautika  daripada  Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sedangkan Malaysia baru menetapkan undang-undang maritime dan menuntut pemilikan Ambalat sejak 1979.

Koresponden penulis di Kalimantan melaporkan ketegangan di perbatasan Malaysia dan Indonesia meningkat kerana pesawat peninjau Tentera Udara di-Malaysia,  Super King telah dua kali melintasi wilayah udara Republik Indonesia di sekitar perairan Tarakan, Kalimantan Timur.

Pesawat peninjau tersebut  berani  terbang melintasi ruang udara  di atas kapal perang Tentera Nasional Indonesia iaitu KRI Nuku, KRI Wiratno dan KRI Rencong selama sepuluh minit ketika kapal berkenan sedang melakukan rondaan perbatasan khususnya di sekitar Ambalat.

Koresponden penulis juga memaklumkan bahawa Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudoyono mengatakan, persoalan atas perbatasan Indonesia-Malaysia di kawasan Kalimantan bahagian utara itu akan diselesaikan dengan solusi terbaik dan tidak menginginkan langkah ekstrem dalam menyelesaikan persoalan tersebut.

Penjelasan Presiden itu disampaikan oleh Setiausaha  Kabinet, Sudi Silalahi di Pejabat  Presiden, selepas pertemuan mendadak dengan Panglima Tentera Nasional Indonesia, Jenderal Endriartono Sutarto, Leftenan Jenderal Djoko Santoso, Laksamana Madya Slamet Soebijanto dan Marsekal Madya Djoko Suyanto.
Menurut laporan koresponden sabahkini.net, terdapat banyak telaga  minyak yang sangat berpotensi yang telah dieksplorasi oleh Malaysia dan Indonesia iaitu melalui Petronas dan Shell (Malaysia) serta Unocal (Indonesia).

Bagaimanapun, penulis dimaklumkan bahawa Ketua Angkatan Bersenjata Malaysia, Jenderal Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin mengumumkan bahawa pihaknya  akan tetap meneruskan pengawasan dan penjagaan di daerah perairannya yang terdapat minyak, termasuk daerah perbatasan yang bersebelahan dengan negara jiran, Indonesia.

 
BERTAHAN.... Tentera Indonesia yang mengawal telaga minyak mempamerkan papantanda 'Pertahankan Keutuhan Wilayah Negara Kesatuan Republik Indonesia'. 

Menurut Mohd Zahidi lagi, penjagaan telaga minyak milik Petronas akan diperketat dan tidak akan menganggu usaha carigali yang dilakukan oleh Unocal agar keamanan di rantau berkenaan terus terjamin.

Manakala Duta Malaysia di Pontianak, Zairi M Basri, mengatakan kapal tentera  Malaysia tidak sengaja memasuki ke kawasan perairan Ambalat, Kalimantan Timur, sehingga menimbulkan  persoalan tapal batas antara Malaysia dan Indonesia.

"Saya yakin kapal tentera laut  Malaysia tidak menyedari mereka telah masuk ke perairan Ambalat," kata Zairi M Basri ketika membuat kenyataan akhbar di Pontianak baru-baru ini yang menyerahkan kepada kebijaksanaan pemimpin dua Negara menyelesaikan isu  Ambalat secara damai.

Sebelum ini dilaporkan, kapal perang TNI AL KRI Untung Surapati-872 telah mengusir kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Yu-3508 yang cuba memasuki wilayah kedaulatan Republik Indonesia di perairan Blok Ambalat.

 
HALAU..... Kapal perang TNI (kiri) sedang memintas kemaraan kapal TLDM Cobra  dan menghalau keluar daripada wilayah Ambalat.

Sehari sebelumnya, KRI Hasanudin-366 juga mengusir KD Baung-3509 dan helikopter Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta pesawat Beechraft yang juga mencoba memasuki wilayah Blok Ambalat.

Mengikut maklumat dalaman TNI AL, mereka mencatatkan Sembilan kali pelanggaran wilayah melalui  laut dan udara oleh TLDM atau Polis Marin Malaysia di Perairan Kalimantan Timur, khususnya di Perairan Ambalat dan sekitarnya bagi tempoh Januari hingga April 2009.

Namun Ketua Staf Angkatan Laut (Kasal) Laksamana TNI Tedjo Edhy Purdijatno pula memberikan maklumat yang mengejutkan dengan mendakwa bahawa Malaysia telah puluhan kali melakukan pelanggaran wilayah Republik Indonesia di Blok Ambalat.

Menurut Purdijatno, pada  2008 sahaja, Malaysia melakukan pelanggaran sebanyak 38 kali, di antaranya 34 kali oleh kapal-kapal perang TLDM dan empat kali oleh empat kapal peronda Polis Marin Malaysia.

Bagaimanapun Purdijatno mengakui kehadiran kapal-kapal tentera  dan Polis Marin Malaysia di Blok Ambalat merupakan kesungguhan Malaysia menuntut Ambalat sesuai dengan Peta Maritim 1979.

"Kita terus melakukan komunikasi dan pengusiran terhadap kapal-kapal Malaysia. Mereka sudah mau jika kita usir. Sesuai dengan perintah bahawa kapal-kapal kita tidak boleh melakukan penembakkan," kata Purdijatno lagi memberi jaminan keadaan diperbatasan masih terkawal.

Bagaimanapun, Pemerhati  Politik daripada Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI),  Arwani Irawati MA di Jakarta, mengatakan, Indonesia dan Malaysia sepakat menyelesaikan konflik Ambalat melalui forum diplomasi secara bilateral namun sehingga saat ini belum ada penyelesaian konkrit.

"Jika konflik tersebut tidak mampu  diselesaikan secara bilateral, sebaiknya diselesaikan di peringkat ASEAN kerana Indonesia dan Malaysia adalah anggota ASEAN," kata Arwani Irawati yang membayangkan jika konflik tersebut diselesaikan di peringkat ASEAN maka Indonesia berpotensi memenangi tuntutan bertindih berkenaan kerana Indonesia lebih dulu menemui sumber minyak di Blok ND-6.

Menurut Arwani lagi, Malaysia akan mencetuskan konflik dengan beberapa Negara  anggota ASEAN yang dijangka akan membela Indonesia apatah lagi Indonesia harus mengelak daripada membawa isu ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang sebelum ini menafikan kedaulatan Indonesia ke atas Sipdan dan Ligitan.

"Saat itu Malaysia membuat peta baru pada 1997 yang memasukkan pulau Sipadan-Ligitan ke dalam kawasan perairan negara tersebut," kata Arwani lagi yang mencadangkan agar Malaysia dan Indonesia mematerai kerja carigali minyak secara bersama gagal menyelesaikan isu ini secara tuntas.

 
KAWAL....Tentera Indonesia ini sedang menjaga perbatasan wilayah Ambalat daripada sebarang pencerobohan Malaysia ke atas wilayahnya.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar media Indonesia tidak memanipulasi isu Ambalat untuk melonjak iklim pertikaian tuntutan bertindih ini kerana hubungan kerjasama telah lama wujud di antara dua Negara berjiran darat dan maritim ini.

"Tidak betullah laporan yang mengatakan bahawa TLDM menceroboh wilayah maritim Indonesia. Saya harap rakyat Indonesia tidak menuduh Malaysia berniat untuk menceroboh kedaulatan wilayah mereka seperti yang digembar gemburkan," ujar Zahid yang meminta semua pihak agar tidak mensensasikan isu Ambalat ini kerana yakin ianya akan dapat diselesaikan dengan baik berdasarkan persefahaman yang ditunjukkan Kerajaan Indonesia.
Secara kesimpulannya bagi menyelesaikan isu ini secara bestari pemimpin kedua negara sewajarnya mentafsir Amanat Mantan  Panglima Besar  Indonesia, Jenderal Soedirman kepada Anggota Angkatan Perang, pada 17 Ogos 1948; 
"Sebagai negara, kita telah cukup mempunyai pancaindera. Negara ada. Pemerintah ada. Tentera ada. Rakyat ada. Kalau kita sekarang tidak mempunyai keinginan untuk terus merdeka, samalah ertinya dengan bayi  yang tidak mau menjadi manusia sempurna. Bayi akan tetap tinggal menjadi bayi, digendong, ditimbang. Ia lebih dahulu lumpuh sebelum tumbuh."

Tiada ulasan: