Pengikut

Bendera Negeri Sabah

Bendera Negeri Sabah

Mengenai Saya

Foto saya
Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Sentiasa Berjuang ke jalan Allah dengan penuh semangat juang yang tinggi

kereta sewa pandu

Jumaat, 18 Jun 2010

SIAPA KHIANATI KAUM ANAK NEGERI SABAH? EPISOD 2

PDF Print E-mail
Thursday, 17 June 2010 20:47

Oleh : OKK HASSNAR HJ EBRAHIM
KETIKA berucap di acara perayaan Pesta Kaamatan di Kg. Labak, Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dipetik membuat kenyataan berikut, seperti yang tersiar di Sabahkini.net seperti berikut;
“On another note, Yong said SAPP wants the status of the Sabah Native Court institution to be returned back to its glory like in the past.
As mentioned by SAPP Deputy President Datuk Eric Majimbun, he said the Native Court institution status and its power had eroded and no longer held as highly by the people as before.
“In the past, OKK (Orang Kaya Kaya the title for a Native Chief) is highly regarded even more than a YB but now they are facing challenges due lack of resources and to the existence of the Civil Court and Syariah Court,” he said.
He said the State Government should give the Native Court institution a better recognition instead of letting this once sacred institution having to face more challenges by not getting proper facilities, sufficient staff and funding for them to operate.
“Hence, the culture value of the KDMs and other Sabah natives will be jeorpardised,” he said, adding that this situation would be a thing of the past once SAPP become the State Government.
“The Native Court will be upgraded and given all the resources it deserved, including training for native court officers and staff, financial support, libraries and office facilities.” he said.”
Dari sudut logik, perancangan SAPP ini sememangnya hebat dan menarik. Mungkin sudah ada ahli masyarakat kaum Anak Negeri Sabah berkata, “memang wajar Parti ini diberi sokongan sebab otak Presidennya bergeliga”.
Tidak dinafikan Datuk Yong Teck Lee adalah seorang ahli politik yang bijak, cerdik dan berpengalaman luas. Banyak isu membabitkan kepincangan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah apabila diungkit olehnya tidak dapat diulas atau ditangkis dengan bijaksana oleh pucuk pimpinan parti pemerintah.
Misalnya, dalam isu bond RM500 juta; Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee menyoal kenapa perlu menjual ‘bond’ kalau dalam tabung Kerajaan Negeri Sabah ada RM 2 billion!
Dalam bahasa yang lebih mudah difahami, kalau ada wang kenapa perlu meminjam? Barisan hadapan pemimpin UMNO atau PBS tidak ada yang berani tampil mengulas sebaliknya hanya berharap kepada beberapa kerat orang bawahan parti itu saja memberi respon dengan alasan yang lemah dan remeh. 
Jika di rujuk kepada sejarah dan membanding antara pencapaian kaum Anak Negeri di Sabah sekarang dengan objektif, cita-cita serta hasrat pemimpin yang berjuang menuntut kemerdekaan, fakta menunjukkan situasi kaum anak negeri Sabah adalah ibarat, ‘keluar dari mulut harimau masuk ke mulut buaya”.
Pepatah dalam bahasa Inggerisnya berbunyi, “out of the pan into the fire”. Banyak kepentinggan kaum Anak Negeri yang menjadi perangsang para pejuang kemerdekaan Negeri Sabah telah menjadi angan-angan kosong dan illusi.  
Kemerdekaan yang kini menjangkau usia hampir setengah abad masih lagi menonjolkan golongan kaum Anak Negeri lemah dalam serba serbi. Lebih mencabar gelombang globalisasi yang tidak mengenal hukum adat resam, budaya dan nyata telah banyak merugikan kaum Anak Negeri Sabah, merupakan risiko yang tidak mudah diatasi jika kaum anak negeri Sabah tidak berhati-hati dan prihatin terhadap masa depan mereka.
Lantas, di saat masyarakat kaum Anak Negeri berhadapan dengan rentak masyarakat dunia rakus mencari dan mencapai kemajuan, pada ketikanya bersalut kezaliman dan keganasaan; cadangan SAPP wajar disambut dengan semangat, azam dan iltizam untuk menangani segala kelemahan dan kekurangan terjana di kalangan kaum Anak Negeri sejak lebih kurang 47 tahun lalu.
Bagaimanapun oleh kerana kenyataan itu dibuat oleh barisan pemimpin sebuah Parti yang pernah memerintah Negeri Sabah di mana Yong pernah menyandang jawatan Ketua Menteri Sabah, maka wajar juga hasrat mereka hendak menjulang institusi ini ke era zaman gemilangnya disambut dengan penuh hati-hati. 
Soalannya apakah kenyataan para pemimpin SAPP itu timbul dari niat pemimpin yang tulus ikhlas hendak membantu kaum Anak Negeri yang identitinya kian hari menuju kepupusan? Atau apakah ianya sekadar retorik politik bertujuan menyedapkan pendengaran hadirin yang datang menyaksikan acara ratu cantik sahaja? Berikut adalah pandangan saya untuk kita fikirkan bersama. 
Kegemilangan institusi Mahkamah Anak Negeri berkait rapat dengan kepimpinan Kerajaan yang memerintah. Di era penjajahan, seseorang penjawat Ketua Daerah yang juga di gelar ‘Orang Kaya-Kaya’ sering saja berinterasksi dengan kaumnya. Merekalah ‘Wakil Rakyat’ yang menjadi lidah kepada kaumnya dan penghubung antara Kerajaan dengan rakyat.
Di samping tugas sebagai ‘Hakim’, mereka juga adalah pemimpin di kalangan masyarakat kaum Anak Negeri di daerah mereka bertugas. Meskipun kebanyakaan bangunan Mahkamah Anak Negeri lebih kurang ‘Kandang Kambing’ jika dilihat dari struktur sekarang, tetapi di situlah masyarakat kaum Anak Negeri akan sentiasa kunjungi untuk mengurus dan menyelesaikan masalah harian mereka; seperti memohon bantuan menaip surat, mendapatkan nasihat membuat sesuatu perjanjian antara penduduk, hinggalah kepada soal hendak meminang anak dara orang, kahwin dan cerai. 
Kini imej Mahkamah Anak Negeri tidak seharum seperti masa lampau. Ianya bukan semata-mata disebabkan sistem pentadbiran telah banyak berubah, serta tugas ahli Mahkamah Anak Negeri diambil alih oleh agensi atau jabatan lain tetapi lebih kepada akibat peranan Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri yang mengundang sendiri berbagai kontroversi.
Jawatan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri serta ahli mahkamah yang lain adalah afiliasi dengan pengaruh politik parti memerintah. Punca utama menghalang institusi Mahkamah Anak Negeri menjadi badan rujukan oleh masyarakat kaum Anak Negeri seperti di masa lampau adalah disebabkan imej yang tercemar akibat tingkahlaku ahli Mahkamah Anak Negeri dan hubungan mereka dengan pemimpin atasan.
Selagi barisan pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan terdiri daripada mereka yang berjuang ‘kontrak didahulukan, rakyat dibelakangkan’; maka selagi itulah institusi Mahkamah Anak Negeri akan berada dalam keadaan ‘hidup segan, mati tidak mahu’.
Dahulu, khidmat Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri berbudayakan integriti. Jarang sekali seseorang penduduk mendengar ada pemimpin Anak Negeri terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa. 
Sekarang perbuatan culas, sumbang dan khianat Ketua Masyarakat Kaum Anak Negeri, walaupun jelas dapat dilihat, seolah-olah sudah diterima sebagai perkara lumrah oleh sebahagian ahli masyarakat kaum Anak Negeri. Rasuah dan salahguna kuasa oleh pemimpin kaum mereka kini mernjadi sebagai salah satu adat dan tidak salah di sisi kaum Anak Negeri.
Ketika kempen pilihanraya, masalah melanda kaum Anak Negeri menjadi agenda utama dan teratas. Selesai sahaja pilihanraya, hak keistimewaan kaum Anak Negeri lah yang pertama dijahanamkan. Lebih memilukan, tidak nampak ada Ketua Kaum Masyarakat Anak Negeri berani ke hadapan bersuara apabila ada ahli masyarakat kaum mereka dianiaya dan khianiati. 
‘Kalau kepala ular, tidak mungkin ekornya belut’. Itulah gambaran terbaik untuk kita melihat gandingan antara Kerajaan dengan kepimpinan di kebanyakan Mahkamah Anak Negeri di Sabah sekarang.
Misalnya kalau dulu seseorang hendak memohon sekeping tanah dalam kawasan jagaan seorang Ketua Kampung, pemohon tesebut perlu terlebih dahulu merujuk permohonannya kepada Ketua di Kampung berkenaan.
Pada kebiasaannya sebagai penghormatan permohonan ‘sipolan’ itu akan dirujuk pula kepada Ketua Anak Negeri atau Ketua Daerah di daerah tempatnya bertugas untuk pandangan dan nasihat.
Jika tanah dipohon tidak berempunya dan jika pada pendapat Ketua Kampung tersebut tanah dipohon boleh diberi, maka barulah permohonan boleh diproses setelah mendapat restu daripada Ketua Kampung berkenaan.
Senario sedemikan tidak lagi wujud sekarang. Sering berlaku walau tanah dipohon oleh seseorang itu telah diduduki berpuluh tahun, ada rumah, ada tanaman malah ada yang diusahakan sebelum tentera Jepun mendarat di bumi Sabah; telah di miliki oleh seorang Anak Negeri, tanahnya boleh dirampas pada bila-bila masa tanpa ada pembelaan dan pampasan.
Segala tanaman dan harta benda kepunyaan kaum Anak Negeri yang telah mengusahakan tanah tersebut sekelip mata dimusnahkan oleh pemohon baru tanah yang mendapat kelulusan memiliki tanah tersebut yang pada awal adalah sah milik kaum Anak Negeri.
Situasi ini paling banyak berlaku sejak UMNO/BN bertapak dan menjadi tunjang pemerintahan Negeri Sabah. Malang sekali ianya sengaja dirahsiakan oleh media arus perdana dan elektronik milik kerajaan BN.
Antara tugas Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri adalah membantu kaum mereka tetapi dalam kebanyakaan urusan membabitkan rampasan tanah milik kaum anak negeri mereka yang diamanah melaksanakan tanggungjawab; telah mencurangi kepentingan kaum mereka sendiri.
Misalnya artikel bertajuk ‘Hidup Bangsa Cina Mati Suku Sino Native’ (http://www.sabahkini.net/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=3569:hidup-berbangsa-cina-mati-suku-sino native&catid=68:an) dan beberapa pendedahan lain oleh beberapa penulis seperti Mustina R dan S. A Aida membuktikan bahawa peranan institusi Mahkamah Anak Negeri telah melencong jauh dan banyak membawa mudarat serta bala kepada kaum Anak Negeri daripada  membantu memelihara, menjaga dan membela nasib kaum Anak Negeri dalam konteks pemilikan tanah.
Tanah adalah aset dan komoditi penting dalam sesuatu masyarakat. Tanpa tanah seseorang itu bukan saja tidak akan dapat mendirikan ‘mahligainya’, tempat dia mendirikan rumah tangganya dan melahirkan zuriat melangsungkan keturunannya malah akan hilang identitinya.
Pemerintah British amat prihatin tentang soal hak milik tanah kaum Anak Negeri sehingga, untuk mengatasinya, pada tahun 1930, British telah menggubal peruntukan dalam Undang-Undang Tanah di mana hak kaum Anak Negeri yang telah menduduki dan mengusahakan sebidang tanah dalam tempoh tiga tahun tidak boleh sewenangnya dirampas oleh kaum bukan anak negeri atau Kerajaan. Apakah nasib kaum Anak Negeri Sabah sekarang terbela seperti di bawah penjajahan dahulu? Soalnya siapa dia ahli masyarakat Anak Negeri kita sekarang?
Bagi menjaga kepentingan kaum Anak Negeri, Penjajah British juga tidak lupa tanggungjawab mereka sebelum memberi kemerdekaan ketika menghuraikan dalam Artikel 161 A, Perlembagaan Malaysia siapa dia layak dikategorikan sebagai Anak Negeri di Sabah dan Sarawak.
Bagi Negeri Sabah, huraian terperinci mengenai siapa dia dikategorikan sebagai Anak Negeri terkandung dalam Ordinan Tafsiran Anak Negeri yang dibaca bersama Artikel 161 A Perlembagaan Malaysia.
Kandungan artikel oleh Mustina R dan S. A. Aida membukti dengan jelas bahawa segala peruntukan Undang-Undang ini tidak digunapakai oleh sebilangan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan kakitangan Mahkamah Anak Negeri lain yang kini masih berkhidmat. Kenapa? 
Justeru, apakah peranan dan fungsi Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri kita sekarang berupaya membawa institusi ini ke era zaman gemilangnya?
Terdapat banyak isu yang telah menimbulkan kecurigaan mengenai fungsi sebenar Mahkamah Anak Negeri. Teratas sekali melibatkan isu penggunaan Sijil Anak Negeri oleh mereka yang tidak berhak.
Pengeluaran Sijil Anak Negeri adalah tertakluk kepada Ordinan Tafsiran Anak Negeri Bab 64, tetapi terdapat segelintir Ketua Kaum Anak Negeri bersama rakan mereka, tanpa merujuk kepada Undang-Undang yang sedia ada, telah sesuka hati, arbitari dan sewenangnya mengeluarkan Sijil Anak Negeri kepada individu tertentu.
Undang-Undang dalam Mahkamah Anak Negeri itu tidak lagi bersandar kepada autoriti, sebaliknya menurut kata hati dan undang-undang ciptaan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan pegawai lain yang bertugas. 
Misalnya pendedahan oleh Penulis S. A Aida bahawa dua beradik bernama Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung, anak kepada seorang berasal dari Tanah Besar Cina, berbangsa Cina Hokkien tetapi memiliki Sijil Anak Negeri adalah suatu pengkhianatan.
Menghairankan, sehingga saat ini tidak seorang pun dari kalangan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri termasuk daripada saf kepimpinan SAPP yang pernah bertugas sebagai Ketua Daerah, telah tampil untuk mempertikai segala dakwaan penulis tersebut. Kenapa membisu?
Apakah sikap berdiam diri para pemimpin SAPP itu menandakan niat mereka hendak memulihkan imej Mahkamah Anak Negeri bermaksud supaya ahli Mahkamah Anak Negeri boleh sambung semula kerja keluarkan Sijil Anak Negeri kepada mereka yang tidak berhak? Atau apakah mereka terlibat dalam memberi atau menyokong penggunaan Sijil Anak Negeri yang telah dikeluarkan kepada mereka yang tidak berhak atau menggunakan Sijil Anak Negeri palsu?
Perbuatan Ketua-ketua Kaum Anak Negeri mengeluarkan dan atau menyokong penggunaan Sijil Anak Negeri oleh mereka yang tidak berhak adalah pengkhianatan terhadap kaum anak negeri. Perbuatan mereka berkenaan wajib dikutuk oleh seluruh kaum Anak Negeri.
Menambah rumit keadaan, kebanyakan Ketua-ketua Kaum Masyarakat Anak Negeri Sabah ‘menangguk di air keruh’ apabila timbul suasana untuk mereka menghakimi bukan Anak Negeri yang memiliki dan menggunapakai Sijil Anak Negeri, sama ada yang sah dikeluarkan atau pun palsu.
Soal sama ada sesuatu sijil itu telah dikeluarkan mengikut prosedur atau tidak, salah atau tidak ianya dimiliki oleh golongan yang menggunapakainya tidak lagi menjadi perkara penting.
Sama ada Sijil Anak Negeri yang digunapakai oleh seseorang itu sah atau tidak, telah dikeluarkan bersandarkan peruntukan perundangan atau tidak; tidak lagi menjadi perkiraan. Penghakiman dalam sesebuah Mahkamah Anak Negeri dianggap lengkap mengikut suka hati dan pendapat Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau mana-mana Pegawai lain yang berkaitan.
Sekalipun dalam Ordinan Tafsiran Anak Negeri menjelaskan bahawa seseorang anak negeri terhad kepada mereka yang ada darah suku kaum Dusun, Orang Sungai, Murut dan sebagainya, peruntukan tersebut tidak perlu dijadikan rujukan dan sandaran penghakiman.
Kata Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Pegawai Mahkamah Anak Negeri adalah Undang-Undang. Kata-kata mereka adalah ‘hukum’. Kata-kata mereka mengatasi peruntukan dalam Ordinan Mahkamah Anak Negeri, Ordinan Tafsiran dan juga Perlembagaan. Pendatang dari Negara Cina sekali pun jika mahu jadi suku kaum Dusun atau Kadazan; Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri berkuasa merubah suku bangsa dan keturunan mereka dari suku Cina Hokkien kepada suku Kadazan. Inilah fakta dan amalan yang kini berleluasa di kalangan majoriti kepimpinan Mahkamah Anak Negeri di Sabah.   
Singkatannya, hukum-hakam dalam pentadbiran Mahkamah Anak Negeri sudah menjadi ‘hakmilik’ ahli Mahkamah Anak Negeri yang menyandang jawatan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Pegawai Mahkamah Anak Negeri di daerah tempat mereka bertugas.
Kalau ahli-ahli Mahkamah Anak Negeri itu kata hitam, walaupun Perlembagaan Malaysia dan Ordinan berkaitan kata putih; maka keputusannya adalah Hitam. 
Interpretasi perundangan bersabit hal ehwal Anak Negeri oleh Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan beberapa Pegawai Mahkamah Anak Negeri tidak lagi perlu berpandu kepada Perlembagaan Malaysia, Ordinan Mahkamah Anak Negeri dan Ordinan Tafsiran Anak Negeri.
Apa yang mereka berkenaan lakukan sebenarnya  adalah tidak betul. Tetapi betul atau salah memerlukan pendekatan lain menyelesaikannya. Lebih penting senario ini membayangkan jika kuasa diberikan semula kepada Ketua Kaum masyarakat Anak Negeri tidak ada jaminan ‘segala bala’ yang telah jadikan ribuan kaum Anak Negeri mangsa kezaliman akibat kedurjanaan Ketua Kaum mereka tidak berulang. 
Pengalaman kerja dan pelajaran kebanyakan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan beberapa Pegawai Mahkamah Anak Negeri di Negeri Sabah sekarang adalah juga merupakan satu faktor yang wajib diambil kira, andainya kita jujur hendak menaikkan semula imej institusi Mahkamah Anak Negeri.
Bagaimana sesuatu penghakiman boleh diberi dengan adil kalau kakitangan Mahkamah yang dilantik tidak tahu selok-belok perundangan. Lebih dashyat kebanyakan daripada kakitangan Mahkamah Anak Negeri dipilih dari kalangan yang tidak ada kecekapan dan visi hendak memenuhi tuntutan aspirasi kaum anak negeri Sabah.
Akhirnya imej Mahkamah Anak Negeri yang calar balar seperti sekarang tidak salah jika dirumus dengan ungkapan ‘jika ada wang, segalanya beres’.
Mungkin kerana tidak berpelajaran, tiada pengalaman dalam bidang perundangan, tidak punya visi, maka kebanyakan tindak tanduk para Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Pegawai Mahkamah Anak Negeri dilihat lebih menjurus kepada mencari dan mengaut keuntungan peribadi hasil daripada kesusahan, seksa dan bala yang menimpa kaum Anak Negeri Sabah akibat perbuatan curang Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri serta pemimpin mereka yang memegang tampuk pemerintahan.
Kepentingan kaum Anak Negeri Sabah diancam risiko yang tidak mungkin akan dapat ditebus oleh generasi akan datang andainya tidak ditangani segera oleh generasi sekarang.  
Persoalannya bagaimana? Jalan terbaik memulihkan imej institusi Mahkamah Anak Negeri adalah dengan mengusir Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Pegawai Mahkamah Anak Negeri yang telah menjadi pengkhianat barisan hadapan kepada kaum mereka sendiri.
Ianya bukan perkara mudah tetapi bukan mustahil dilakukan. Yang penting kita ada keinginan hendak merubah keadaan kita sekarang. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Datuk Eric Majimbon dan OKK Ag. Talip B. Ag. Bagul merupakan dua tokoh dalam saf kepimpinan SAPP yang pernah bertugas sebagai Ketua Daerah. Mereka berkelayakan menyumbang idea bagaimana mengatasi nasib malang menimpa kaum Anak Negeri akibat penggunaan Sijil Anak Negeri oleh mereka berasal dari tanah besar Cina tetapi kini menjadi suku Kadazan, Murut, Rungus atau Bumiputera Sabah. Mereka mahu institusi ini dipulihkan ke era zaman gemilangnya tetapi membisu bila isu penggunaan Sijil Anak Negeri oleh mereka yang tidak berhak dibangkitkan.
Sebelum cadangan SAPP itu diterima wajar kita hayati pepatah berbunyi ‘lihat Gajah pada gadingnya, lihat harimau pada belangnya‘. 
Ikuti Bahagian Ke 3….

16 ulasan:

toM berkata...

siapa yang khianati kaum anak negeri???adui..kita pun tidak tahu. jadi jangan salahkan BN/UMNO dalam hal ini. BN/UMNO cuba untuk membantu dan menolong rakyat. mungkin ada dalang disebalik tabir.

uranglama berkata...

pemimpin yang baik seharusnya membantu rakyat dan menjaga budaya dan hak2 rakyat.

Hasu-Tasu berkata...

I don't think we should always blame BN/UMNO whenever there is problem occurring unless there is a solid prove.

jack berkata...

sebagai seorang pemimpin bagi suatu kaum, beliau seharusnya menjalankan tanggungjawabnya dengan telus, jujur dan amanah..

samanda berkata...

kita tak perlulah nak menyalahkan sesiapa, yang penting hal ini perlu diselesaikan dan diperbaiki. mana2 golongan yang menyalahgunakan kuasa mereka harus diberi tindakan.

john berkata...

apa sahaja yang dilakukan kerajaan walaupun ianya dilihat sesuatu yang baik, tetap akan diputar belit untuk menjadikan ia buruk. hasil dari kreativiti dan idea2 bernas telah berjaya menggabungkan semua fakta2 manipulasi menjadi satu cerita yang cukup menarik..

black berkata...

pengkhianat bukannya parti atau kerajaan, tapi pemimpin yang tidak jujur dan tidak telus dalam menjalankan tanggungjawab.

villager berkata...

prove it and bring that bad person to the court..

nanny berkata...

Bagi saya, fakta dan jalan cerita penulis sampaikan ini kemungkinan ada benar ataupun tidak. Mengapa beliau tidak pergi berjumpa sendiri mahkamah anak negeri dan membentangkan hujah2nya. Janganlah mengambil jalan mudah bagi memulihkan imej institusi MAN dengan sewenang2nya mengusir mereka. Apapun, biarlah diselidik dengan lebih mendalam terlebih dahulu biarpun memakan masa untuk mendapat kebenaran.

supra berkata...

bagi perkara ini, ia bukanlah salah mana2 parti, tp adalah salah segelintir individu yang yang pentingkan diri. apapun, pemimpin seharusnya bersikap jujur dan telus dalam menjalankan tugas mereka.

toM berkata...

betul itu, ini salah individu yang entingkan diri dan gila harta. kita tidak boleh salahkan orang lain dalam hal ini. pemimpin haruslah jujur dan bertanggung jawap kepada rakyat. tugas utama adalah membantu rakyat kita.

boY berkata...

pemimpin haruslah buat yang terbaik untuk rakyat dan dan kepentingan rakyat haruslah di utamakan. percaya kepada diri dan jujur dalam apa jga kerja yang diberi. rakyat percaya kepada pemimpin.

Aryaa berkata...

Persoalan yang bagus. Siapa? Kita tidak siapa dalang disebalik pengkhinatan yang disebut oleh penulis. Ia boleh jadi pemimpin kita ataupun orang kita sendiri. Allahualam..

Alejandro berkata...

Wow! Part 2 already.

Hurm. Can't say for sure but whoever is the Mastermind behind this is a freaking traitor to the people.

Time to launch an investigation then..

jack berkata...

sikap daripada segelintir pemimpin kaum anak negeri ini yang dianggap membelakangkan anak negeri untuk kesenangan diri sendiri menyebabkan kejatuhan kepada institusi ini yang sepatutnya melindungi dan memelihara hak. adat, budaya, serta kepentingan kaum anak negeri..ini bukan salah kepada mana2 parti politik tetapi sebaliknya salah sikap manusia itu sendiri yang ego dan sombong kerana beranggapan diri amat berkuasa dan berpengaruh kerana menjadi hakim, pelaksana dan pentadbir berhubung dengan kepentingan kaum anak negeri..apa yang perlu dilakukan adalah meningkatkan kepercayaan kaum anak negeri dengan kerjasama antara semua pihak memartabatkan institusi ini..

pacayang berkata...

apa pun kita tidak juga boleh salahkan pemimpin dalam hal ini. kita pun tidak tahukan siapa sebenarnya yang salah dalam hal ini. kalau pemimpin ini yang kita tahu adalah untuk membantu rakyat kita, dan mereka tidak akan membebankan mereka.